feel free to navigate around. FOLLOW | DASHBOARD.
What About You?


entries | profile | tagboard

Wednesday 11 January 2012
Mengapa Saya Menganut Islam.......?



"Dia telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan (ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim dia (Allah) telah menemani kamu, sekalian orang-orang Muslim dari dahulu dan (begitu pula) dalam (al-Quran) ini supaya Rasul itu, menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia maka dirikanlah sembahyang, tunaikan zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah dia adalah pelindung. Maka Allah sebaik-sebaik pelindung dan sebaik-baik penolong."[Surah al-Hajj: Ayat 78]



"Kenapa saya menganut agama Islam?" Itulah persoalan yang sering diajukan oleh keluarga saya, kawan-kawan saya yang beragama Kristian dan Islam, ustaz-ustaz, paderi-paderi dan sesiapa sahaja yang mengenali saya dan mengetahui saya adalah bekas penganut agama Kristian sebelum ini.
Saya dahulunya lahir dalam keluarga yang kuat berpegang teguh dan taat kepada ajaran agama Kristian Mazhab Protesten (PCS), keluarga saya banyak terlibat dalam institusi gereja sebagai Ketua Gereja, Pendakwah, Pastor dan NGO Kristian, kemudian diasuh dengan penuh disiplin tentang ajaran agama Kristian sejak daripada kecil, tiba-tiba saya meninggalkan agama Kristian dan beralih kepada agama yang paling di benci dan menjadi musuh nombor satu dalam agama Kristian dan penganutnya iaitu agama Islam.
Saya sendiri sebenarnya tidak menyangka dan terfikir yang saya pada akhirnya akan memeluk agama Islam, satu agama yang begitu asing dalam hidup saya pada waktu itu. Bukan sahaja asing tetapi turut menganggap Islam salah, tidak benar, amat membencinya dan cuba berusaha sedaya upaya untuk menentang perkembangan Islam dalam kalangan penganut agama Kristian.
Pada waktu itu, apa yang saya fikirkan ialah saya akan menjadi seorang aktivis Kristian, menjadi pendokong agama Kristian dan bercita-cita menjadi seorang Paderi Kristian yang hebat dan paling berpengaruh di Malaysia pada masa akan datang. Siapa yang tidak mengenali Pop John Paul II, paderi paling berpengaruh di dalam Mazhab Katolik dan dunia Kristian dan Mother Thresea seorang birawati di India yang terkenal dengan kegiatan kebajikan yang dilakukannya.
Kedua-dua mereka merupakan idola saya sejak dari kecil dan bercita-cita ingin menjadi seperti mereka, membantu orang yang susah tanpa mengira agama dan bangsa. Dan inilah harapan dan cita-cita keluarga saya. Mereka mahukan saya menjadi seorang Paderi Kristian yang hebat dan berpengaruh di negara ini pada masa akan datang.
Sejak daripada sekolah rendah lagi saya sentiasa membaca buku yang menceritakan kehebatan Mother Thresea dan sumbangannya kepada dunia pada waktu itu. Begitu mendalam sekali keinginan saya untuk mencontohinya dan menjadi sepertinya. Tidak berkahwin dan seluruh hidupnya diletakkan kepada agama Kristian dan membantu manusia dengan sebaik mungkin.
Paling saya bangga ialah ketika mana Mother Thresea menerima anugerah Novel keamanan dan duit hadiah tersebut ditukarkannya kepada makanan untuk diberikan kepada orang yang lebih memerlukan, tanpa mengira agama dan bangsa. Kehebatan yang ditunjukkan oleh Mother Thresea ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana individu di dunia. Kita akan dapat melihat tidak ada individu di dalam agama Islam yang mampu dan dapat menandingi kegiatan kebajikan yang dilakukan oleh Mother Thresea, dan hakikat ini haruslah diakui oleh semua pihak.
Dengan kegiatan kebajikan ini, telah meletakkan Kristian agama yang paling baik dan sempurna, agama kasih sayang dan agama kebajikan pada pandangan saya pada waktu itu dan seolah-olah Kristian tidak ada cacat celanya. Dengan keadaan tersebut telah menyebabkan ramai orang tidak mempercayai dan boleh menerima saya telah meninggalkan ajaran Kristian dan menganut agama Islam.
Begitulah juga kawan-kawan saya yang beragama Islam, turut hampir-hampir tidak mempercayai saya telah beriman kepada Allah S.W.T dan menjadi penganut agama Islam dengan penuh komited dan mengalahkan mereka pula.
Saya bukannya angkuh, sombong atau riak tetapi inilah realiti yang berlaku. Kalau kita melihat pada masa kini, berapa ramai pemuda pemudi Islam yang bergiat aktif di dalam medan dakwah. Sebaliknya mereka lebih suka dengan kehidupan yang penuh keseronokan. Berseronok tidak salah akan tetapi janganlah sampai kita melupakan tanggungjawab kita kepada agama.
Saya sendiri seperti remaja Islam yang lain, akan tetapi seperti kata-kata Mawi seorang penyanyi terkenal "World-world juga, akhirat jangan lupa". Kehidupan saya ketika beragama Kristian dahulu tidaklah boleh dikatakan seronok dan sebagainya. Pada waktu itu, saya tidak pernah merasai erti keseronokan seperti yang dilalui oleh remaja-remaja masa kini. Pada waktu itu apa yang saya lakukan ialah hidup dan mati bersama agama Kristian.
Setelah saya memeluk agama Islam, saya sedaya upaya menjadi seorang pendakwah, walaupun banyak kelemahan dan kekurangan akan tetapi saya tidak menganggap semua kekurangan ini sebagai satu penghalang kepada saya untuk berdakwah. Saya akui menjadi pendakwah bukan satu perkara yang mudah. Seseorang yang ingin menjadi pendakwah haruslah melupakan hasrat untuk hidup senang, hidup berseronok dan sebagainya.
Menjadi pendakwah janganlah berharap untuk mencari kekayaan, kemewahan dan keseronokan. Saya telah mengalaminya sejak daripada bergelar Muslim. Saya bukannya menakutkan kepada orang lain yang berminat dengan dakwah akan tetapi saya cuba menceritakan hakikat yang sebenar, sebagai satu persediaan kepada mereka. Janganlah terjun di dalam medan dakwah sekiranya hanya sekadar untuk mencari nama, pangkat dan kemewahan. Dakwah tidak menyediakan semua ini.
Saya masih ingat lagi apa yang saya lihat ketika di alam persekolahan dahulu. Saya melihat remaja Islam ramai yang tidak kenal istilah-istilah seperti usrah, tamrin dan mukayyam. Bilangan remaja yang terlibat dalam medan dakwah amat sedikit. Berbanding dengan remaja-remaja Kristian, walaupun tidak wujud istilah usrah dan tamrin dalam agama Kristian tetapi kami telah melaluinya dan melibatkan diri di dalam dakwah. Saya dapat lihat remaja Kristian lebih aktif berbanding remaja Islam di dalam mempertahankan dan memperjuangkan agama mereka. Remaja-remaja Islam hanya tahu berseronok dan bercakap tetapi cakap tidak serupa bikin.
Selepas tiga bulan saya memeluk agama Islam saya mula melibatkan diri di dalam kerja dakwah bersama Jemaah Tabligh, usrah, tamrin, mukayyam, rehlah dan sebagainya yang mana perkara-perkara ini asing di dalam kehidupan mojoriti remaja Islam pada masa kini. Saya melibatkan diri dengan pelbagai jemaah yang ada untuk mempelajari dakwah, saya pernah terlibat dengan Jemaah Tabligh di Sabah. Saya keluar khuruj di jalan Allah S.W.T bersama-sama dengan mereka, berkawan dan bersahabat dengan bekas pemimpin-pemimpin anggota Jemaah al-Arqam, ahli-ahli politik daripada UMNO/ BN, PAS, KEADILAN, anggota QADIANI dan NGO-NGO Islam.
Daripada sinilah saya mempelajari bagaimana berdakwah, berpolitik, ilmu bergaul dengan masyarakat dan sebagainya dicampur dengan ilmu yang saya pelajari ketika di dalam agama Kristian dahulu, saya memiliki banyak pengalaman dan ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Sekiranya dipandang dari segi luaran mungkin ramai yang tidak percaya apabila melihat saya. Ini kerana saya tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang luas biasa akan tetapi saya hanyalah seorang pemuda Islam yang biasa tetapi boleh melakukan perkara yang luas biasa yang orang lain tidak boleh melakukannya.
Individu yang banyak mencorakkan hidup saya supaya berani, sabar, dan berjuang di medan dakwah ialah al-Fadhil Ustaz Haji Abdul Halim Abbas. Bagi saya beliau seorang guru, pendakwah, murrabi, 'Master Mind', ayah dan sahabat. Ketika saya dalam kesempitan menerima ujian yang getir beliaulah yang banyak memberikan kata-kata nasihat supaya saya terus istiqomah dengan Islam, dakwah dan jangan sekali-kali undur ke belakang.
Selepas kematian ibu saya, beliaulah yang banyak membantu saya. Orang kedua yang banyak mendidik saya di dalam medan dakwah ialah Ustaz Anuar Ali. Daripadanya saya mempelajari berjuang secara berjemaah. Ustaz Anuar Ali lah yang memperkenalkan hidup saya tentang usrah, mukayyam, rehlah dan sebagainya. Walaupun pada akhirnya saya terpisah dengannya kerana beberapa masalah akan tetapi sehingga sekarang saya masih terasa kesan tarbiyyah yang diberikan.
Inilah hakikat kebenaran yang terpaksa saya, keluarga dan sesiapa pun yang merasa terkejut dan tidak percaya akan perkara yang saya lalui. Tidak ada yang mustahil di sisi Allah S.W.T, apabila Allah S.W.T katakan "Kun Fayaku" maka ia terus terjadi tanpa ada yang boleh menghalang dan tidak boleh terhalang oleh sesiapa pun. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya urusan-Nya apabila dia mengkehendaki sesuatu dia hanya berkata kepadanya:"Jadilah!" maka terjadilah sesuatu itu." [Surah Yassin: Ayat 81]
Inilah keagungan kekuasaan Allah S.W.T yang tidak dimiliki oleh 'Tuhan-Tuhan' lain yang menjadi sembahan mereka seperti agama Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Kawan-kawan saya sendiri yang beragama Islam sebenarnya mereka tidak mempercayai yang saya telah memeluk agama Islam dan mereka seolah-olah tercengang dengan apa yang telah terjadi kepada saya.
Mereka merasakan seolah-olah telah berlaku satu perubahan yang tidak pernah mereka lalui selama ini. Bagi saya ini merupakan satu anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah S.W.T yang pernah saya perolehi di muka bumi ini.
Nikmat yang pertama ialah anugerah kehidupan. Dengan izin Allah S.W.T akhirnya saya lahir ke dunia ini, yang kedua saya dilahirkan di dalam keadaan yang sempurna dan yang ketiga saya telah diberikan anugerah hidayah untuk kembali kepada agama fitrah iaitu Islam sebagai agama anutan. Akhirnya dengan anugerah ini, saya terpaksa korbankan antara kehendak Allah S.WT. dan kehendak manusia yang akan saya ceritakan pada bab yang seterusnya. Insya-Allah dengan izin daripada Allah S.W.T.
Jawapan yang saya berikan kepada setiap persoalan ini ialah "Panjang ceritanya, tidak akan habis satu hari untuk menceritakannya".
Namun inilah jawapan yang paling manis, semanis madu yang didengar oleh ustaz-ustaz dan kawan-kawan saya yang beragama Islam dan sesiapa sahaja yang mendengarnya daripada umat Islam tetapi, inilah juga jawapan yang paling pahit, sepahit hempedu untuk didengar oleh keluarga saya dan semua penganut agama Kristian dan kepada sesiapa sahaja yang membenci kepada agama Islam.
Jawapan ini juga merupakan satu pukulan "KO" kepada mereka. Jawapan inilah juga yang menyebabkan ramai yang suka kepada saya dan ramai yang juga yang membenci saya. Dan jawapan inilah juga yang menyebabkan saya dikenali ramai pada hari ini, walaupun tidak sehebat seperti seorang ahli politik yang hebat tetapi saya telah melakukan satu tindakan yang terbaik dalam hidup saya apabila saya memilih Islam sebagai agama anutan dan barangsiapa yang menolak Islam merupakan manusia yang paling bodoh. Manusia yang menolak Islam lebih hina daripada seekor anjing. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam." [Surah Ali-Imran: Ayat 19]
Pada saya, jawapan ini merupakan satu permulaan jihad di dalam diri saya untuk membuktikan adakah saya benar-benar beriman atau pun tidak. Saya  haruslah berani berkata benar di depan orang-orang kafir walaupun terasa pahit untuk menyatakannya, akan tetapi inilah namanya perjuangan yang sebenar. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga pada jalan yang belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang yang sabar (yang tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?" [Surah Ali-Imran: Ayat 142]
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cabaran). Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka maka (dengan ujian yang demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang yang berdusta." [Surah al-Ankabut: Ayat 2-3]
Namun inilah sunatullah kebenaran kepada sesiapa yang ingin mencari kebenaran yang sebenar dan abadi, haruslah dibayar dengan harga yang amat mahal dengan kesabaran, kesengsaraan, ujian yang silih berganti, air mata dan sebagainya. Yang batil pasti akan dikalahkan juga oleh kebenaran, dan inilah yang saya rasai di dalam perjuangan pentas dakwah dan pentas kehidupan sebagai seorang Muslim yang sejati.
Walaupun diri ini terasa kerdil di mata manusia tetapi saya merasa kemuliaan yang tinggi di dalam agama Islam. Sesungguhnya kemuliaan seseorang itu bukan terletak di dalam harta yang banyak, pangkat dan paras muka tetapi manusia mulia kerana Islam. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan katakanlah,"Kebenaran telah datang dan yang batil telah lenyap". Sungguh, yang batil itu pasti lenyap." [Surah al-Isra: Ayat 81]
Di dalam agama Kristian, memeluk agama selain daripada agama Islam seperti Hindu, Buddha dan Bahai tidak menjadi masalah atau persoalan yang besar, dan berapa ramai penganut agama Kristian yang dilanda ujian yang sedikit seperti sakit dan sebagainya. Pada waktu itu mereka telah melakukan pelbagai ikhtiar tetapi sakit yang mereka hadapi tidak sembuh pun.
Lalu mereka keluar daripada agama Kristian sekejap dan melakukan perubatan dengan meminta pertolongan daripada Syaitan dan Iblis yang akhirnya penyakit mereka sembuh dan selepas itu barulah mereka kembali semula kepada agama Kristian (kes seperti ini banyak berlaku di pedalaman Sabah) tetapi sekiranya memeluk agama Islam, seolah-olah telah melakukan satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan dan telah meninggalkan keluarganya dan telah masuk bangsa Melayu.
Bagi orang-orang Kristian memeluk agama Islam bermaksud memeluk bangsa Melayu. Di dalam perkara ini, saya selalu menyatakan orang yang memeluk agama Islam tidak akan masuk Melayu. Islam ialah agama dan boleh ditukar tetapi Melayu ialah bangsa dan sampai bila-bila seseorang itu tidak akan menjadi bangsa Melayu. Lebih baik dikatakan memeluk bangsa Arab kerana Islam ini daripada negara Arab dan bukannya daripada orang Melayu.
Mereka tidak boleh membezakan antara bangsa dan agama. Kerana apa? Kerana terdapat segelintir masyarakat Melayu yang berfahaman bahawa Islam itu hanya untuk orang Melayu sahaja secara mutlak. Orang yang bukan berbangsa Melayu tidak berhak ke atas agama Islam.
Oleh itu seseorang yang ingin memeluk agama Islam haruslah menukar namanya, budayanya dan cara hidupnya kepada cara hidup orang Melayu walaupun bercanggah dengan ajaran Islam. Inilah pengalaman yang dilalui oleh seorang pendakwah saudara baru di perak Ustaz Muhammad Hafiz Ng Abdullah, penerima anugerah Tokoh Dakwah peringkat negeri perak.
Ketika awal bertugas di Jabatan Agama Islam Perak terdapat segelintir orang Melayu yang tidak boleh menerima dan mempertikaikan kenapa ada Cina Muslim menjadi ustaz dan berkerja di jabatan tersebut. Sikap seperti ini bukan semua boleh diterima oleh masyarakat lain yang memeluk agama Islam. Sedangkan tidak ada ayat al-Quran dan Sunnah yang memerintahkan hal ini. Saya sendiri sebenarnya merasa amat menyesal kerana menukar nama kepada Ahmad Khairul Ikhwan Abdullah. Kenapa saya rasa menyesal? Saya menyesal kerana banyak peluang dakwah tertutup kerana nama ini.
Ramai kawan-kawan saya menganggap saya telah masuk bangsa Melayu, dan mereka cuba menjauhkan diri daripada saya. Saya bukan menyalahkan nama ini tetapi kerana sikap segelintir umat Islam sama ada orang biasa mahupun golongan yang bergelar ustaz tidak memberikan kefahaman yang jelas kepada saya ketika mula-mula saya memeluk agama Islam.
Apa yang saya dapat rasa, seolah-olah keislaman seseorang itu tidak sah sekiranya nama tidak ditukar dan berbinkan Abdullah. Sedangkan perkara-perkara ini bukan wajib di dalam agama Islam, perkara yang wajib ialah ialah kita beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T, akan tetapi perkara remeh-temeh dibesarkan sebaliknya perkara wajib dipandang 'enteng'.
Saya amat kecewa kerana terpaksa menukar nama, semata-mata kerana mengikut kehendak manusia dan bukan kerana perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Dan inilah perjuangan saya pada masa kini untuk mengembalikan hak saya, walaupun terpaksa melalui proses mahkamah.
Kenapa saya harus melakukan semua ini? Jawapannya ialah supaya mereka yang digelar Muallaf ini tidak dipermainkan, dipandang kelas kedua dan dihina oleh orang lain. Saya memeluk agama Islam bukan kerana saya hendak masuk bangsa Melayu dan menjadi orang Melayu akan tetapi saya memeluk agama Islam kerana Allah dan Rasul.
Oleh yang demikian selagi tidak bercanggah dengan syarak saya berhak untuk mengamalkan cara hidup bangsa saya iaitu Dusun. Di dalam kes yang dihadapi oleh Ustaz Muhammad Hafiz tersebut, kenapa terdapat segelintir umat Islam yang tidak boleh menerima orang bukan Melayu menjadi ustaz dan berkerja di pejabat agama Islam. Adakah dengan beragama Islam dan berbangsa Melayu sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu digelar ustaz walaupun jahil ilmu agama.
Jawapannya tidak. Semuanya berpaksikan kepada ilmu. Dengan ilmulah seseorang tersebut digelar ustaz. Saya bukan anti kepada orang Melayu akan tetapi apalah salahnya orang yang bukan Melayu akan tetapi mempunyai kemahiran berkerja di jabatan agama Islam. Buanglah tanggapan buruk tersebut demi kebaikan umat dan agama Islam.
Di dalam budaya masyarakat di Sabah yang beragama Kristian, sesiapa ahli keluarganya yang memeluk agama Islam mereka merasakan telah membuang keluarga, tidak mengaku anak dan sehinggakan ada yang dihalau daripada rumah. Dan inilah yang saya hadapi, amat perit tetapi tidak boleh ditolak.
Seseorang yang menolak dan ingin lari daripada kesengsaraan ini tidak sempurna Imannya dan Islamnya. Kerana tidak dapat merasakan betapa manisnya Iman itu apabila dipraktikan dan bukan hanya teori semata-mata yang diucapkan oleh mulut tetapi tidak ada pembuktian daripada anggota badan.
Hatta sahabat saya contohnya hampir menjadi mangsa pembunuhan kerana memeluk agama Islam, tetapi dengan rahmat Allah S.W.T, peluru daripada senapang yang digunakan oleh ayahnya untuk menembak sahabat saya, tidak meragut nyawanya. Dengan pertolongan Allah S.W.T peluru tadi melencong jauh walaupun jaraknya dekat dengan ayahnya. Sebaliknya itulah yang menjadi asbab kepada keluarganya untuk memeluk agama Islam, walaupun sebelum ini mereka amat benci kepada agama Islam.
Maha suci Allah S.W.T dalam mengatur kehidupan setiap hamba-Nya. Bukan setakat memeluk agama Islam tetapi turut serta di dalam perjuangan Islam.
Pada mereka perbuatan memeluk agama Islam merupakan satu keaiban di dalam keluarga dan telah mencemarkan nama baik di mata penganut agama Kristian. Selain daripada itu mereka juga kuat menentang kerana selepas memeluk agama Islam mereka tidak dapat lagi memakan daging babi dan minum arak. Dua perkara ini merupakan satu amalan adat yang turun-temurun sejak daripada zaman nenek moyang lagi.
Bagi mereka, sesiapa  yang tidak memakan daging babi seolah-olah telah memeluk agama Islam walaupun masih beragama kafir. Walaupun di dalam Bible terdapat ayat yang mengharamkannya untuk memakannya tetapi semua penganut agama Kristian termasuk ulama-ulamanya terus memakan daging babi kecuali  penganut agama Kristian yang bermazhab SDA. Tetapi walaupun penganut agama Kristian mazhab SDA tidak memakan daging babi tetapi mereka terlampau mengharamkan sesuatu perkara seperti penganut mazhab SDA dilarang untuk memakan ikan yang tidak mempunyai sisik.
Sebenarnya antara PCS dan SDA tidak ada perbezaanya pun di dalam perkara aqidah. Cuma berbeza di dalam persoalan makan dan minum. Ini kerana aliran SDA lebih taat sedikit kepada ajaran Bible walaupun bukan keseluruhannya. Akan tetapi ketaatan ini tidak berguna kerana aqidah mereka jauh menyeleweng daripada jalan rasul yang ditetapkan oleh Allah S.W.T.
Berapa ramai paderi yang ikhlas di dalam beragama, memenuhi gereja pada setiap hari Ahad akan tetapi mereka dimurkai oleh Allah S.W.T kerana jalan mereka yang tidak betul. Dan ramai manusia yang dimasukkan ke dalam Neraka bukan kerana niat tetapi kerana jalan yang salah. Ini kerana Allah S.W.T telah mengutuskan Rasul untuk menunjukkan jalan yang betul dan manusia wajiblah mengikut jalan Tuhan ini akan tetapi manusia masih menolaknya dan tidak mengikut jalan Rasul ini.
Saya sendiri mengakui, walaupun saya lahir di dalam keluarga yang taat dan fanatik kepada agama Kristian tetapi boleh dikatakan segala makanan yang diharamkan oleh Bible saya pernah merasainya. Saya pernah memakan daging babi (menu utama), makan daging anjing, daging biawak, daging katak, daging monyet, daging ular, daging tikus, daging burung helang, daging beruang, dan bermacam-macam lagi yang kalau disebut tidak sesuai untuk bacaan umum.
Saya mula meminum minuman keras ketika di dalam darjah satu. Minum arak tidak menjadi masalah akan tetapi merokok, lepak, bergaul dengan kawan-kawan yang tidak elok merupakan satu perbuatan yang tidak boleh dilakukan di dalam keluarga saya. Dan sudah pastinya sekiranya saya melakukan perbuatan ini penampar akan hinggap di pipi.
Persoalannya ialah, kenapa penganut agama Kristian memakan semua benda yang diharamkan ini? Ini merupakan satu soalan yang baik. Penganut agama Kristian telah mencampurkan adat dan agama di dalam kehidupan mereka. Walaupun terdapat pengharaman di dalam Bible tetapi selagi perkara ini sesuai dengan hawa nafsu maka mereka akan mentafsirkan pengertian ayat ini dengan tafsiran yang lain.
Akibatnya agama Kristian mereka jadikan sebagai satu agama kebudayaan. Mana-mana ajaran Kristian yang sesuai dengan budaya dan adat resam akan diikuti tetapi mana-mana ajaran Bible yang bertentangan dengan budaya adat resam mereka akan ditolak demi mempertahankan adat resam. Dan perkara inilah yang harus diambil perhatian oleh umat Islam. Jangan jadikan agama Islam sebagai agama kebudayaan kerana kita telah melihat bagaimana di dalam agama Kristian berlakunya kerosakan yang teruk.
Pada saya, kebudayaan yang dibawa dan dianjurkan oleh Islam sudah cukup untuk diamalkan oleh penganutnya. Islam itu "Way Of Life" Islam adalah cara hidup. Apabila dikatakan cara hidup segala perkara yang berkaitan dengan manusia sudah tersedia, sudah ada panduan. Oleh itu perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan agama dan boleh mencemarkan agama wajiblah ditingglkan. Tetapi apa yang kita lihat pada masa kini sudah terdapat segelintir umat Islam yang menjadikan Islam sebagai agama kebudayaan. Menyamakan Islam seperti agama Kristian, Hindu dan fahaman-fahaman sesat yang lain.
Seperti mana apa yang saya dan kawan-kawan yang lain alami. Tetapi inilah kebenaran yang haruslah disyukuri oleh mereka yang diberikan hidayah kebenaran oleh Allah S.W.T. Kerana kebenaran ini bukan suatu perkara yang mudah dicari dan boleh diwarisi. Seorang ayah yang berkerja sebagai mufti, ustaz atau pun ulama belum pasti akan dapat mewariskan Iman ini kepada anak-anaknya.
Mungkin di dalam perkara lain seorang ayah itu boleh mewariskan kepada anaknya seperti, harta yang banyak, mungkin ayahnya seorang doktor maka dengan menghantar anaknya ke sekolah perubatan maka anaknya pada masa akan datang boleh menjadi doktor, tetapi anugerah Iman ini tidak boleh dijual beli walau apa cara sekali pun Iman tidak akan dapat diwarisi, kerana Iman hak mutlak Allah S.W.T.
Walaupun kita mencarinya dengan sepenuh hati tetapi sekiranya Allah S.W.T tidak memberikannya kepada orang yang tidak dipilihnya maka segala usahanya itu adalah sia-sia. Kita dapat melihat dalam sejarah Islam bagaikan mana Abu Talib, bapa saudara Rasulullah S.A.W walaupun banyak membantu perjuangan dakwah baginda akan tetapi Allah S.W.T tidak memberikan taufik dan hidayah kepadanya akhirnya mati dalam keadaan tidak beriman kepada Islam. Seorang insan yang dilahirkan di dalam keluarga Islam belum tentu akan mendapat hidayah kebenaran daripada Allah S.W.T.
Ini dapat dilihat dengan berapa ramai orang Islam yang dilahirkan di dalam keluarga Muslim tetapi akhirnya murtad dengan memeluk agama Kristian atau pun mengikuti fahaman falsafah Hindu. Akan tetapi kita dapat melihat bagaimana daripada kecil hidup di dalam kekafiran dan menentang Islam tetapi pada akhir hidupnya beriman dan meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah S.W.T.
Beruntunglah mereka yang mendapat anugerah agung daripada Allah S.W.T. Walaupun pada pandangan manusia adalah kecil tetapi nilainya di sisi Allah S.W.T lebih mulia dan berharga daripada seisi langit dan bumi ini. Dengan asbab Islam dan Iman inilah kita akan mendapat keredhan daripada Allah S.W.T, menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W dan menjadi umat yang paling mulia di muka bumi ini.  Firman Allah SWT:
"Dan kamu tidak (mampu melakukan) apa yang kamu kehendaki kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah." [Surah al-Insan: Ayat 30]
Menyedari akan hakikat ini, berapa ramai manusia yang berusaha untuk menghargai dan bersyukur kepada Allah S.W.T di atas anugerah nikmat Islam dan Iman kepada diri kita dan keluarga kita. Tidakkah dengan kedua ibu bapa kita, adik beradik dan kaum kerabat beragama Islam merupakan satu rahmat yang terbesar daripada Allah S.W.T dan satu sakinah kebahagian yang mahal Allah S.W.T anugerahkan kepada kita.
Dengan dua nikmat ini sudah cukup untuk seseorang mengharungi kehidupan di dunia dan akhirat dengan baik. Berapa ramai lagi di.kalangan manusia yang kedua ibu bapanya, adik beradik dan kaum kerabatnya tidak beragama Islam sebaliknya memilih untuk kufur dan engkar kepada Allah S.W.T. Bukankah ini satu musibah? Yang  Allah S.W.T tidak berikan kepada dia anugerah Iman Islam sebaliknya kita yang mendapatnya?
Ya! Bagi saya ini merupakan satu musibah yang paling besar dalam hidup seorang manusia. Musibah ini tidak ada penawarnya kecuali dengan beriman kepada Allah S.W.T. Indah sungguh kemuliaan ini bagi yang pandai mensyukurinya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Dan adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat kami serta (mendustakan) pertemuan hari Akhirat, maka mereka tetap berada di dalam azab (neraka)." [Surah ar-Rum: Ayat 16]
Tidakkah kamu mengetahui setiap malam saya memikirkan bagaimana cara supaya kelurga saya memeluk agama Islam, memikirkan sekirannya ahli keluarga saya tidak memeluk agama Islam macam mana saya menjawab soalan Allah S.W.T pada hari akhirat kelak.
Kadang-kadang saya merasakan berfikir untuk mencari kaedah bagaimana hendak mengIslamkan keluarga saya, ini pun satu ujian yang berat dan tidak mampu saya pikul selama-lamanya. Berapa ramai yang memikirkan akan hal ini? Bagi mereka yang sudah lahir di dalam agama Islam tidak perlu bersusah payah siang dan malam untuk memikirkan tentang mencari cara supaya keluarganya yang tidak Islam dapat memeluk dan menerima Islam.
Bersyukurlah dengan anugerah Islam dan Iman yang kita miliki. Sekiranya Islam dan Iman ini kita tidak syukuri kita tidak ketahui bila Allah S.W.T akan menariknya semula dan untuk mendapatkanya bukan suatu perkara yang mudah.
Mungkin selepas itu kita akan mati di dalam keadaan kufur kepada Allah S.W.T atau kita mati dalam keadaan beriman. Marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T  supaya kita dimatikan dalam keadaan Islam, beriman, mati dalam keadaan berjuang, mati dalam keadaan Allah S.W.T redha dengan kita dan dibangkitkan pada hari akhirat sebagai golongan Ashabul Yamin. Hidup di dalam Islam merupakan satu nikmat yang besar.
Persoalan sama ada bertaqwa atau derhaka itu merupakan perkara kedua. Yang penting Iman kepada Allah S.W.T walaupun hanya sebesar zarah sekalipun. Saya bukan mengatakan biarlah banyak dosa tetapi asalkan beriman akan tetapi maksud di sini ialah banyak dosa mana yang kita lakukan janganlah kita meninggalkan Islam, kerana Islam akan memberikan banyak rahmat kepada umatnya.
Pada hari ini, kita melihat bagaimana Islam itu sendiri dihina dan tertindas kerana disebabkan oleh umat Islam sendiri. Terdapat segelintir umat Islam yang tidak sayang kepada agamanya, tidak mahu tunduk kepada ajaran Islam, tidak mahu menjadikan Islam sebagai "Way Of Life" di sinilah kesilapan kita sebagai seorang yang beragama Islam.
Saya memohon maaf sekiranya saya ada melakukan kekasaran yang tidak elok di dalam penulisan ini tetapi saya ingin menceritakan satu kisah yang saya pernah hadapi ketika meniti hari-hari kehidupan sebagai seorang yang bukan lahir di dalam agama Islam secara keturunan.
Terdapat segelintir umat Islam yang menerima Islam secara keturunan menganggap diri mereka lebih mulia daripada saya. Dan merasakan Islam itu hanya untuk orang-orang Melayu sahaja. Adapun saya yang bukan berketurunan Melayu seolah-olah merampas kedudukan mereka di dalam Islam dan menganggap saya sebagai kelas kedua di dalam beragama.
Amat sedih juga apabila terpaksa menerima kenyataan ini. Sudahlah golongan seperti saya ini memerlukan bantuan dan sebagainya bukan petunjuk kebaikan yang saya perolehi tetapi tuduhan yang tidak betul dan tidak elok yang dilemparkan. Sudahlah tertindas kerana memeluk agama Islam ditindas lagi oleh segelintir umat Islam yang mengaku beriman kepada Islam sebagai agama Rahmatan Lil' Alamin.
Setelah saya memeluk agama Islam ramai juga yang bertanya kepada saya tentang perbezaan selepas dan sebelum memeluk agama Islam, mereka berminat sangat untuk mengetahuinya, walaupun kadang-kadang saya ingin merahsiakannya tetapi untuk memenuhi permintaan mereka saya terpaksa untuk menceritakannya. Cuma yang saya kecewa ialah ada di kalangan mereka tidak mengambil iktibar dan teladan daripada apa yang saya kongsikan dengan mereka.
Mereka merasakan cerita-cerita yang saya alami dan semua saudara baru alami ini merupakan satu cerita novel bersiri, cerita yang sensasi, cerita yang sedih dan boleh menitiskan air mata yang sekadar untuk dibaca dan seolah-seolah hanya satu rekaan daripada seorang pengarang yang berbakat. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai sandiwara dunia. Kita suka kepada peristiwa yang menimpa orang lain. Tetapi kita tidak pandai mengambil teladan dan pengajaran daripada peristiwa tersebut. Bukan untuk meminta simpati tetapi sebagai satu pengIslahan di dalam diri dan umat Islam.
Kadang-kadang terdapat segelintir di kalangan umat Islam yang merasakan saudara baru ini merupakan satu beban kepada mereka. Mereka merasakan disusahkan, merugikan dan sebagainya kerana mereka terpaksa mengeluarkan harta benda mereka untuk membantu golongan saudara baru ini. Inilah antara pengalaman yang saya lalui selama saya memeluk agama Islam sehingga sekarang ini.
Mereka tidak melihat saudara baru ini sebagai satu tempat untuk lubuk menambahkan pahala di sisi Allah S.W.T. Saban hari kita melihat di dada-dada akhbar bagaimana kehidupan saudara baru ini amat terhina dan tidak terbela. Tetapi apa yang menghairankan jabatan agama mengumumkan setiap tahun lebihan zakat yang dimiliki. Mereka bukan gunakan zakat tersebut untuk memajukan umat sebaliknya untuk tujuan bermegah kerana dapat memungut hasil zakat yang begitu banyak.
Mereka yang berkerja di jabatan zakat menganggap duit zakat tersebut seperti duit mereka. Dan harus diingat bahawa perkara ini saya akan menuntutnya di hadapan Allah S.W.T pada hari hari akhirat kelak. Kami yang digelar muallaf ini sebenarnya tidak pernah pun berniat untuk menjadi pengemis meminta sedekah. Akan tetapi keadaan yang menyebabapkan kami terpaksa memohon pertolongan.
Pernah sekali seorang kawan yang mengetahui saya memeluk agama Islam telah bertanya kepada saya, dengan soalan yang saya tidak mengetahui apa maksud dan tujuannya untuk bertanya, kawan tersebut bertanya kepada saya tentang "Apa rasa daging babi sedap ke?" Lalu saya menjawap soalan ini dengan jawapan yang ringkas "sedap juga, awak nak makan ke? Kalau awak nak saya boleh tolong belikan di pasar Cina?" itulah jawapan yang biasa saya berikan sekiranya ada sesiapa yang bertanya akan hal ini.
Saya merasakan tujuan mereka bertanya perkara remeh-temeh ini adalah untuk memandang rendah kepada kami. Seolah-olah kami yang hanya memeluk Islam ini lebih rendah (kelas kedua) daripada mereka yang dilahirkan di dalam Islam. Kalaulah ini tujuan mereka, mereka masih tidak memahami ajaran Islam yang sebenar, mereka merasakan Islam itu hanya untuk satu bangsa sahaja. Sekiranya mereka beranggapan bahawa Islam itu untuk satu bangsa sahaja maka hilanglah kesyumulan dan alamiyyah ajaran Islam dan bertentangan dengan sifat Islam itu sendiri yang bersifat dengan Rahmatan lillalamin.
Inilah yang saya hadapi selama saya memeluk agama Islam. Islam pada diri itu dinilaikan kepada berapa lama seseorang itu telah menganut agama Islam, dan bukannya nilaian dibuat berdasarkan kepada kesungguhan seseorang itu beramal dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W:"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada anggota badan dan harta kamu akan tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu." [Hadis Riwayat Muslim]
Perbuatan ini sekiranya tidak dibuang di dalam pemikiran dan tindakan umat Islam ia akan memberikan satu impak yang tidak baik dan seterusnya mencacatkan agama Islam sebagai agama kebenaran. Sebagai seorang yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya kenapa kita harus melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, kita lebih rela dan sanggup mempertahankan kebatilan daripada kita mengikuti sepenuhnya ajaran Islam yang mulia.



Labels:


0 loner (s)
OLD | NEW
Template by Puffnuts. Background by FPA and icons by Applepine.